Status Order & Apa Maksudnya
Satu order ada beberapa status berasingan yang bergerak pada kelajuan berbeza — penghantaran, bayaran, dan komisen. Panduan ini asingkan ketiga-tiganya.
Kekeliruan paling biasa dalam ARAS: menyangka satu order ada satu status. Sebenarnya ia ada beberapa, dan ia bergerak secara berasingan.
Order boleh sudah dihantar tetapi bayaran belum dilepaskan, dan komisen masih ditahan. Ketiga-tiga itu betul serentak.
Status Penghantaran
Ini yang anda nampak paling kerap dalam senarai order. Ia bergerak dari order baharu → dalam perjalanan → dihantar, dan boleh berakhir sebagai gagal, dipulangkan, atau dibatalkan.
Selepas AWB dijana, status ini dikemas kini oleh courier, bukan oleh anda. Kalau ia nampak tersangkut, baca Status Penghantaran Tak Kemas Kini.
Status Bayaran
Untuk order COD, tiada apa-apa untuk dilepaskan sehingga parcel sampai dan duit dikutip.
Untuk order storefront yang dibayar dalam talian, duit tidak masuk terus ke baki jualan anda. Ia ditahan dahulu, kemudian dilepaskan tiga hari selepas penghantaran berjaya. Yuran gateway (2%) ditolak sebelum baki jualan dikreditkan.
Tempoh tiga hari itu wujud supaya order yang dipulangkan sebaik sahaja sampai tidak sempat menjadi duit yang sudah anda belanjakan.
Status Komisen
Ini yang paling kerap disalah faham, dan ia bukan benda yang sama dengan status bayaran di atas.
Bila order selesai, komisen ejen tidak terus jadi duit yang boleh dikeluarkan. Ia masuk ke baki Ditahan dahulu, dan matang tujuh hari kemudian. Sapuan matang berjalan sekali sehari pada waktu pagi.
Jadi dalam satu order storefront yang dibayar dalam talian, ada dua jam berbeza berjalan serentak:
| Apa | Berapa lama | Dikira dari |
|---|---|---|
| Duit jualan merchant dilepaskan | 3 hari | Tarikh parcel dihantar |
| Komisen ejen matang | 7 hari | Bila order selesai |
Dua mekanisme berbeza, dua jam berbeza. Jangan samakan.
Butiran penuh: Tempoh Tahan Komisen.
Bila Order Dipulangkan Atau Dibatalkan
Komisen atas order itu ditarik balik. Kalau ia masih dalam tempoh tahan, ia ditarik terus dari baki Ditahan dan tidak pernah matang. Kalau ia sudah matang, ia ditarik dari baki Boleh Keluar.
Tiada had masa untuk penarikan balik ini. Pulangan yang sampai lambat tetap menarik balik komisen. Tetapi penarikan hanya boleh ambil apa yang masih ada dalam baki — kalau ejen sudah keluarkan duit itu, ia kekal milik mereka.
Pulangan juga dikira pada rekod pelanggan. Selepas dua pulangan, pelanggan itu ditandakan sebagai berisiko tinggi — lihat Tanda JOY BUYER.
Kenapa Angka Komisen Tak Sama Dengan Angka Jualan
Kerana ia dikumpul mengikut perkara berbeza. Angka jualan dikumpul ikut status penghantaran; angka komisen dikumpul ikut status komisen. Order baharu yang belum selesai akan masuk dalam jualan, tetapi komisennya belum wujud sebagai duit di mana-mana.
Adakah artikel ini membantu?

